Apa Itu Keselamatan Kanak-kanak?
Zaman kanak-kanak merupakan suatu era yang menakjubkan, indah lagi mengasyikkan sehingga ada masa-masanya kita berasa ingin kembali ke alam kanak-kanak. Alam kanak-kanak penuh dengan fantasi, ilusi, alam imaginasi dan alam fatamorgana yang serba serbinya indah ibarat berada dalam alam hikayat 1001 malam. Namun hari ini semuanya ibarat mimpi di dalam mimpi kerana kini kita telah dikejutkan dengan pelbagai insiden yang menyayat hati, peristiwa berdarah dan pelbagai isu keselamatan membabitkan kanak-kanak sehingga ia kelihatan seperti tiada titik nokhtah serta tiada penghujungnya. Kita sering disajikan dengan berita-berita seperti kanak-kanak mati terjatuh bangunan, lemas dalam kolam renang, meninggalkan anak di dalam kereta berseorangan dan yang lebih memilukan apabila kanak-kanak maut dilanggar oleh kenderaan ibu atau bapa sendiri.
Pada zaman era globalisasi kini, dunia kanak-kanak yang seronok telah terbatas akibat kes penculikan yang semakin menular di negara kita. Hal ini akan mengakibatkan, setiap ibu bapa pasti akan berasa sangat bimbang mengenai kes kehilangan kanak-kanak yang telah berleluasa pada zaman ini terutamanya melibatkan kes penculikan. Apabila kanak-kanak tidak diawasi oleh orang dewasa, mereka akan diculik dengan mudah oleh penjenayah. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mengawasi anak-anak mereka jika tidak mahu perkara ini terjadi. Tetapi, jangan pula ibu bapa mendapat sesal di kemudian hari apabila kejadian penculikan ini berlaku kerana ianya disebabkan oleh kesalahan ibu bapa sendiri yang leka mengenai keselamatan anak-anaknya seperti bak kata pepatah 'nasi sudah menjadi bubur'. Menyesal pun sudah tiada gunanya.
Disini admin mahu kongsikan beberapa langkah menjaga keselamatan kanak-kanak.
Langkah-langkah Menjaga Keselamatan Ketika Di Luar Rumah.
Salah satu langkah untuk menjaga keselamatan kanak-kanak ialah mengawasi anak-anak apabila meraka berada di tempat awam. Hal ini adalah untuk mengelakkan penculikan dan pemerdagangan kanak-kanak. Ibu bapa haruslah sentiasa memimpin tangan anak-anak ketika berada di luar rumah terutamanya apabila berada di pusat membeli-belah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Ibu bapa juga perlu menemani anak-anak ketika bermain diluar rumah.
Kebanyakkan kes penculikan yang semakin menular di negara kita adalah berpunca daripada kelalaian ibu bapa sendiri sehingga telah memberi peluang kepada penjenayah untuk melarikan kanak-kanak. Jika ibu bapa sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling maka kes penculikkan di negara kita akan mencapai penurunan yang sangat baik dari semasa ke semasa.
Selain itu, kes penculikan dan pemerdagangan kanak-kanak juga boleh diatasi apabila kanak-kanak sentiasa berada dalam kumpulan dan bukannya bersendirian. Ini kerana, kes penculikan selalunya berlaku apabila kanak-kanak berada di luar rumah secara bersendirian. Oleh itu, ibu bapa perlu menasihati anak-anak agar bermain secara berkumpulan ketika mereka berada di taman atau berjalan-jalan di sekitar taman perumahan mereka bersama rakan-rakan sebayanya. Kes penculikan biasanya akan berlaku di mana-mana kerana penjenayah sentiasa menunggu peluang keemasan untuk menculik kanak-kanak.
Seterusnya, ibu bapa juga haruslah menghantar anak-anak ke kelas seni mempertahankan diri agar kanak-kanak dapat mempertahankan dirinya daripada diculik oleh penjenayah. Kebiasaannya penjenayah akan menjual kanak-kanak ke negara jiran untuk mendapatkan wang atau meminta wang tebusan daripada ahli keluarga kanak-kanak tersebut.
Oleh hal yang demikian, ibu bapa digalakkan untuk menghantar anak-anak ke pusat pembelajaran yang menawarkan untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri agar keselamatan anak-anak dapat dijamin ketika mereka berada di luar rumah. Sebagai contoh, sesetengah kanak-kanak yang mempunyai ilmu mempertahankan diri tidak mempunyai risiko yang tinggi utnuk diculik oleh penjenayah malahan kanak-kanak yang mempunyai ilmu mempertahankan diri juga dapat melindungi diri sendiri, keluarga dan orang disekelilingnya daripada menjadi mangsa penculikan.
Langkah-langkah Menjaga Keselamatan Ketika Di Rumah.
Ibu bapa atau penjaga janganlah membiarkan anak-anak bermain peralatan elektrik atau peralatan dapur. Kanak-kanak amat memerlukan jagaan, perlindungan dan pemulihan. Ibu bapa atau penjaga haruslah bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak dan melindungi mereka daripada sebarang peralatan yang boleh membahayakan anak-anak seperti pisau, gunting, dan peralatan lain sehingga boleh menyebabkan kanak-kanak ditimpa kecederaan seperti putus jari, putus tangan atau kecederaan serius yang lain. Apabila kejadian seperti ini berlaku, ibu bapalah yang patut dipersalahkan kerana tidak menjaga anak-anak mereka daripada ditimpa kejadian-kejadian yang tidak diduga. Oleh itu, ibu bapa haruslah peka terhadap keselamatan anak-anak mereka dan ibu bapa juga perlu sentiasa memantau anak-anak agar jauh daripada pelbagai unsur bahaya.
Langkah-langkah Menjaga Keselamatan Ketika Di Tadika.
Guru berperanan penting dalam menjaga keselamatan kanak-kanak ketika mereka berada di tadika. Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam keselamatan kanak-kanak di tadika ialah persekitaran yang kondusif, selesa dan selamat dari pelbagai aspek. Jika persekitaran yang disediakan kepada kanak-kanak tidak kondusif dari pelbagai aspek maka ianya akan membuat kanak-kanak berasa tidak selesa ketika berada di tadika tersebut. Kemalangan yang berlaku di tadika juga disebabkan oleh kegagalan dalam mematuhi langkah-langkah keselamatan untuk kanak-kanak.
Antara faktor lain yang boleh menyebabkan berlakunya kecuaian di tadika adalah disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan kemahiran dalam pengendalian aspek keselamatan di tadika. Hal ini kerana pihak tadika tidak sepenuhnya mengaplikasikan peraturan yang telah ditetapkan dalam usaha bagi mengelakkan kemalangan di tadika.
Oleh itu, sesetengah kakitangan tadika perlulah mempunyai pengetahuan berkaitan langkah kecemasan seperti rawatan kecemasan, pertolongan cemas dan sebagainya sebagai langkah berjaga-jaga ketika berlaku kemalangan atau kecederangan kepada kanak-kanak. Begitu juga dari aspek keselamatan lain seperti latihan kebakaran, keselamatan penggunaan ruang tertentu, keselamatan penggunaan bahan dalam sesuatu aktiviti dan sebagainya.
Kesimpulan.
Kesimpulannya, keselamatan kanak-kanak memang sangat penting untuk dititikberatkan samada dari segi aspek persekitaran, penggunaan bahan dan sebagainya. Ibu bapa dan guru serta masyarakat dan pihak kerajaan haruslah bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan kanak-kanak supaya kanak-kanak selamat daripada segala bahaya yang tidak terduga. Oleh itu, setiap pihak yang dinyatakan haruslah mempunyai kesedaran berkaitan dalam melaksanakan peranan masing-masing dalam memasrikan keselamatan kanak-kanak terjamin.
Rujukan
No comments:
Post a Comment