Mandi bayi dengan cara yang betul.
Proses memandikan bayi perlu dilakukan dengan cara yang betul dan selamat bagi mengelakkan bayi mengalami kecederaan yang tidak diingini seperti hidung dan telinga dimasuki air. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengetahui cara-cara memandikan bayi dengan betul.
Mandian bukan sahaja boleh merehatkan bayi, tetapi ia juga boleh memberi peluang kepada ibu bapa dan bayi untuk mengeratkan ikatan dan bermain selepas seharian sibuk melakukan pelbagai perkara. Sama seperti urutan bayi, mandian hangat juga boleh menjadi cara yang baik bagi membantu menyediakan bayi untuk tidur.
Persediaan dan cara-cara memandikan bayi.
👶Persediaan sebelum memandikan bayi
Sediakan keperluan mandian dan persalinan selepas mandi
- Keperluan mandian – termasuklah semua barangan dan peralatan yang diperlukan untuk mandi seperti besen kecil / tab mandi, sabun bayi, span atau kain lembut,
- Persalinan bayi – pakaian bayi selepas dimandikan termasuklah tuala, lampin, krim, bedak, putik kapas, dan sebagainya. Biasanya tilam getah akan dihamparkan bersama semua kelengkapan ini.
Ruang mandi yang selamat
- Pastikan anda mendapatkan ruang yang luas, selesa dan selamat untuk anda dan bayi. Bagi ibu yang masih belum boleh duduk dengan selesa di atas bangku, mandikan bayi dalam keadaan berdiri seperti di sinki dapur atau di atas meja.
- Lapikkan alas getah untuk mengelakkan anda daripada tergelincir semasa mendukung bayi.
- Jauhkan benda-benda lain seperti baldi dan gayung yang tidak digunakan. Ianya berisiko kerana mengganggu ruang keselesaan anda.
- Jika perlu, letakkan tong sampah atau baldi berdekatan untuk meletakkan lampin bayi yang kotor. Ini dapat mengelakkan anda menjadi kelam-kabut semasa proses menanggalkan lampin bayi.
Kedalaman air yang sesuai
- Kedalaman air yang disyorkan ialah sekadar untuk bayi berbaring setakat bahunya terendam. Iaitu lebih kurang 10cm untuk bayi yang berusia kurang dari 6 bulan.
- Bagi bayi 6 bulan ke atas, pastikan kedalaman air tidak melebihi paras pinggang bayi dalam posisi duduk.
Suhu air yang sesuai
- Mandikan bayi dengan air suam – tidak terlalu sejuk mahupun terlalu panas. Suhu yang sesuai ialah sekitar 37o
- Celupkan siku anda untuk merasa kehangatan air, bukannya merasa dengan tangan anda.
👶Semasa memandikan bayi.
Periksa lampin
- Sekiranya lampin bayi dipenuhi air kencing atau najis, pastikan punggung bayi dibersihkan terlebih dahulu.
- Tutup bahagian tubuhnya dengan tuala terlebih dahulu supaya bayi tidak kedinginan. Ini untuk memudahkan anda mengambil masa dan posisi yang selesa semasa membersihkan bahagian muka dan kepala bayi.
Cara memegang bayi semasa mandi
- Gunakan satu tangan untuk menyokong leher dan kepalanya, manakala satu tangan lagi digunakan untuk membersihkan anggota badan bayi.
- Selepas membersihkan muka dan kepala bayi, teruskan menggosok lembut dari anggota di bahagian atas badan ke bawah dan dari depan ke belakang.
Meratakan air dan membersihkan badan
- Ratakan air dan gunakan sabun yang sesuai. Pastikan setiap celahan turut dibersihkan.
- Bagi bayi baru lahir yang sensitif, cukup sekadar meratakan air bersih tanpa perlu menggunakan sabun.
👶Selepas memandikan
Mengeringkan dengan tuala
- Tidak perlu menggosok tuala ke kulit bayi yang masih halus. Sebaliknya, tepukkan sahaja tuala secara perlahan-lahan ke badan bayi.
- Baringkan bayi di atas tilam getah sebagai persediaan sekiranya bayi terkencing sebelum sempat dipakaikan lampin.
- Gunakan tuala lembut yang kering dan bersih untuk mengeringkan mata, muka, leher, dan celah-celah jari.
Urutan bayi
- Luangkan sedikit masa untuk mengurut bayi sebelum dipakaikan baju.
- Kebanyakan bayi sangat sukakan urutan. Selain memupuk kemesraan, urutan juga dapat memberi ketenangan kepada bayi.
- Gunakan minyak bayi seperti minyak telon atau losyen pelembap yang sesuai untuk memberi urutan.
- Selalunya bayi diurut lembut di bahagian perut dan tapak kaki. Terdapat pelbagai teknik urutan bayi yang boleh dipelajari.
No comments:
Post a Comment