Monday, November 11, 2019

Vaksin

Image result for vaksin

Apa itu vaksin?

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.

Bagaimana vaksin berfungsi

Tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semulajadi bagi melindungi daripada jangkitan virus dan bakteria. Walau bagaimanapun, mekanisma pertahanan ini boleh dirangsang dengan suntikan vaksin. Antigen dalam vaksin bertindak merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu. Ia menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan. Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin tersebut diambil mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Mengapa kanak-kanak diberi imunisasi semasa masih bayi?

Kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit kerana sistem daya lawan jangkitan mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa. Pemberian vaksin membantu menguatkan sistem imun mereka dengan merangsang sel pertahanan. Seterusnya melindungi mereka daripada kemungkinan berlaku komplikasi yang mengancam nyawa. Imunisasi diperlukan bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti pelbagai penyakit cegahan vaksin yang serius yang boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian. Selain itu, imunisasi bertujuan melindungi mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap kanser. Ini juga dapat mengelak berlakunya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin.

Kesan sampingan vaksin kepada kanak-kanak

Kebanyakan ibu bapa takut untuk memberikan vaksin kepada anak mereka kerana ragu-ragu dengan keselamatan vaksin.  Perlu diketahui, semua vaksin yang diberikan adalah selamat dan berkesan selaras dengan cadangan World Health Organization (WHO). 


  • Kesan dari pengambilan vaksin bersifat ringan dan mempunyai batasannya sendiri. Vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan, seperti kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan atau demam, bengkak ringan dan sakit pada tempat yang disuntik. Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera. 
  • Kanak-kanak juga boleh mengalami  kesan sampingan yang serius seperti menangis secara berterusan, pucat dan berlaku kecutan otot dalam tempoh 48 jam selepas suntikan, berlaku ruam panas, kesukaran bernafas dan mengantuk yang serius. Kesan sampingan yang serius jarang berlaku pada kanak-kanak. 
Adakah vaksin benar-benar mencegah penyakit? Melalui imunisasi,

  • Penyakit cacar air telah berjaya dibasmi di seluruh dunia pada tahun 1980. Cacar air adalah penyakit yang tidak mempunyai rawatan dengan kadar kematian yang tinggi. Ia menyebabkan parut atau buta kepada mangsa-mangsa yang dijangkiti.
  • Poliomyelitis telah dibasmi di tiga rantau di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Rantau Amerika, Eropah dan Pasifik Barat. Malaysia telah mencapai status eradikasi polio pada Oktober 2000.
  • Kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) penyakit cegahan vaksin telah berkurangan dengan ketara. Imunisasi telah menjadikan dunia semakin selamat dengan menyelamatkan jutaan nyawa dari dijangkiti penyakit yang boleh dicegah ini. 
  • Tanpa imunisasi, dua hingga tiga juta lagi kanak-kanak dan orang dewasa mati setiap tahun akibat penyakit poliomyelitis, meningitis, difteria dan penyakit cegahan vaksin yang lain. 
  • Melindungi bayi dan juga kanak-kanak dari penyakit-panyakit yang boleh membawa maut seperti batuk kering, difteria, pertusis.

Rujukan

No comments:

Post a Comment