Monday, November 18, 2019

Pembuangan Bayi

Image result for pembuangan bayi

Isu pembuangan bayi semakin hari semakin hangat diperkatakan di dada akhbar, media massa mahupun di media sosial. Kes pembuangan bayi dianggap sebagai satu jenayah yang berat dan teruk. Pembuangan bayi merupakan perbuatan mencampakkan, menghapuskan atau meninggalkan bayi yang tidak berdosa di merata-rata tempat seperti tong sampah, longkang, tandas dan sebagainya tanpa ada sedikit pun sifat kemanusiaan.


Antara faktor-faktor yang mendorong ke arah pembuangan bayi ialah:-

↝ Kurang didikan dan kefahaman tentang ilmu agama.
  • Kekurangan didikan dan kefahaman tentang ilmu agama menyebabkan golongan remaja pada zaman kini hilang panduan dalam memilih haluan hidup mereka sehingga ada segelintir daripada golongan remaja terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan sebagainya.


↝ Pengaruh rakan sebaya.
  • Remaja pada zaman kini mudah terpengaruh dengan sikap rakan mereka. Jika remaja salah memilih rakan mereka maka mereka akan lebih mudah untuk melakukan perkara-perkara negatif. Rakan-rakan yang negatif tidak akan teragak-agak untuk mengajak melakukan perkara diluar batasan agama dan norma hidup masyarakat seperti pergi ke tempat hiburan, melepak dan sebagainya.


↝ Sikap masyarakat.
  • Sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi remaja untuk melakukan jenayah ini. Ini kerana, apabila seseorang remaja melahirkan anak sebelum menikah sudah pasti remaja itu akan dipandang serong dan dianggap menjatuhkan maruah keluarganya. Perkara ini sudah pasti akan membuatkan remaja tersebut berasa tertekan dengan tohmahan yang diberikan kepadanya. Oleh itu, demi menjaga imej diri dan keluarga. Sudah pasti remaja tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuang bayi yang dikandungkan itu kerana bimbang akan dipandang hina oleh masyarakat.


↝ Sikap ingin tahu.
  • Sikap ingin tahu remaja tentang sesuatu yang baru sudah pasti wujud dalam diri remaja. Biasanya mereka akan mencuba untuk melakukan sesuatu perkara itu walaupun perkara itu dilarang. Remaja pasti berfikiran bahawa mereka akan menjadi lebih matang sekiranya mereka cuba melakukan sesuatu yang jarang dilakukan oleh orang lain. Mereka juga pasti beranggapan bahawa diwaktu usia remajalah mereka harus berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara negatif seperti seks bebas.

Kesan buruk pembuangan bayi:-

↝ Kesan kepada ibu bayi.
  • Bagi remaja yang melahirkan, sudah pasti mereka tidak akan berada dalam keadaan yang selesa dan mengizinkan. Tanpa persediaan yang rapi untuk melahirkan, pasti remaja ini akan mudah untuk dijangkiti kuman, mengalami kecederaan semasa melahirkan dan juga akan kehilangan darah yang banyak. Kebanyakan remaja yang melahirkan pasti akan menggunakan kudrat sendiri tanpa ada pertolongan daripada pihak hospital atau orang yang mahir dalam bidang persalinan ini. Selain itu, remaja ini sudah pasti akan mengalami masalah dalam diri seperti kemurungan, hilang keyakinan diri dan juga mengalami masalah emosi.

↝ Kesan kepada keluarga.
  • Jika ibu bapa remaja mengetahui bahawa anak mereka telah melakukan jenayah ini, sudah pasti akan terjadinya keruntuhan dalam hubungan sesebuah keluarga tersebut. Ini kerana, ibu bapa remaja tersebut pasti akan berasa malu dengan tindakan dan perbuatan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Mereka sudah pasti akan menganggap bahawa anak mereka telah menconteng arang ke muka mereka. Malah, keluarga ini akan dipandang hina dan akan dipandang serong oleh masyarakat dan jiran-jiran mereka. Ibu bapa mereka juga pasti akan menyalahkan sesama sendiri kerana tidak pandai menjaga dan mendidik anak mereka. 

↝ Kesan kepada masyarakat.
  • Kes pembuangan bayi yang berlaku pasti akan menjejaskan imej masyarakat. Bak kata pepatah "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga". Peribahasa ini sudah pasti tepat dengan situasi yang berlaku. Ini kerana masyarakat turut menerima akibat daripada perbuatan remaja yang tidak bermoral ini. Secara tidak langsung, ianya akan menimbulkan persepsi buruk orang luar tentang keupayaan masyarakat setempat dalam membendung masalah ini daripada berlaku.

↝ Kesan kepada negara.
  • Ekonomi dan pembangunan negara kurang berkembang kerana masalah seperti ini. Manakala, perbelanjaan negara sudah pasti akan meningkat kerana mahu menampung perbelanjaan untuk bayi dan kanak-kanak seperti yang berada di rumah/pusat kebajikan masyarakat.
↝ Kesan kepada agama.
  • Sesebuah institusi agama pastinya akan dipandang rendah oleh agama lain kerana menganggap agama tersebut tidak menerapkan nilai yang baik kepada penganutnya. Penganut agama lain juga pasti akan meletakkan perspektif yang negatif terhadap agama tersebut.

Cara mengatasi:-

↝ Peranan ibu bapa.
  • Ibu bapa haruslah memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan kepada anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak mereka, sudah pasti anak-anak akan mencari perhatian dan kasih sayang daripada orang lain.
↝ Peranan masyarakat.
  • Mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada para remaja tentang keburukan bersosial secara bebas dan sebagainya. Seterusnya, mengadakan ceramah agama untuk meningkatkan pengetahuan remaja pada zaman sekarang tentang ilmu-ilmu agama.
↝ Peranan kerajaan.
  • Kerajaan boleh menguatkan undang-undang bagi mengatasi masalah pembuangan bayi ini dengan cara mengenakan hukuman yang maksimun kepada pasangan yang berzina seperti mengenakan hukuman sebat. Hukuman yang dilakukan kepada pesalah sudah pasti akan memberi pengajaran kepada remaja-remaja lain agar tidak melakukan perbuatan seperti itu lagi.

Rujukan

No comments:

Post a Comment